Sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa yang diraikan pada 18 Mei setiap tahun, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mengumumkan kemasukan percuma ke semua 19 muzium di bawah pentadbirannya pada Sabtu ini.
Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, muzium masa kini bukan sekadar tempat menyimpan artifak, tetapi berperanan sebagai pusat komuniti yang dinamik dan inklusif.
“Muzium tidak hanya menjadi sebuah entiti yang menyimpan artifak tetapi juga merupakan pusat komuniti yang dinamik, interaktif, inklusif dan berevolusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Senarai muzium yang terlibat adalah Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu, Muzium Seni Kraf Orang Asli, Muzium Tekstil Negara, Muzium Muzik di Kuala Lumpur,
Muzium Automobil Nasional di Sepang, Muzium Lukut dan Muzium Adat di Negeri Sembilan, Muzium Perak dan Muzium Matang di Perak, Muzium Sungai Lembing di Pahang, Muzium Kota Kayang di Perlis, Muzium Kota Kuala Kedah, Muzium Arkeologi Lembah Bujang di Kedah,
Muzium Kota Johor Lama, Johor, Muzium Seni Bina Malaysia di Melaka, Muzium Labuan, Muzium Marin Labuan dan Muzium Chimney di Wilayah Persekutuan Labuan.
Sambutan tahun ini membawa tema “Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas”, dengan objektif memperkukuh hubungan antara masyarakat dan muzium melalui pendidikan sejarah dan pemeliharaan warisan budaya.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman rasmi JMM: www.jmm.gov.my.
JMM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tidak melepaskan peluang menghayati warisan budaya negara secara percuma pada 18 Mei ini.