Misteri Kehilangan Wanita Terjawab Susulan Penemuan Mayat Wanita Di Rumah Kosong

KUALA LUMPUR: Kehilangan seorang wanita sejak pertengahan Disember lalu berakhir dengan penemuan mengerikan apabila polis menemui mayat dipercayai milik mangsa di dalam sebuah beg, ditanam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau, Khamis.

Penemuan itu disahkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, yang memaklumkan kes berkenaan dipercayai berkait dengan laporan orang hilang yang dibuat di Ampang Jaya pada 15 Disember lalu.

Menurut beliau, polis menerima maklumat pada 18 Disember sebelum menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Pedas–Linggi.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui unsur perlakuan jenayah di bahagian belakang rumah, sebelum satu beg mengandungi mayat wanita ditemui tertanam di kawasan tersebut.

Siasatan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Khairul Anuar Khalid, berkata laporan kehilangan dibuat oleh ibu saudara mangsa, dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang sebelum perkembangan terbaharu ini.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-685 2222.

BBerkaitan

Latest articles