Miliki Gambar, Video Lucah, Tiga Lelaki Termasuk Dua Penuntut IPT Didenda RM11,000

KOTA BHARU: Tiga lelaki, termasuk dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), masing-masing didenda antara RM3,000 hingga RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam, selepas mengaku bersalah memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit mereka.

Ketiga-tiga tertuduh – Mohd Hanafi Ibrahim, 47; Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22; dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27; membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah atas pertuduhan yang dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor, pada jam 1.15 pagi, 18 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Mohd Hanafi, manakala dua pelajar IPT masing-masing dikenakan denda RM4,000.

Jika gagal membayar denda, mereka berdepan penjara enam bulan.

Peguam bela, Samantha Chong Yin Xin, memohon hukuman ringan atas alasan kesal dan insaf.

Katanya, Mohd Hanafi mempunyai masalah kesihatan otak dan ditanggung oleh kakaknya, manakala Muhammad Al Azamuddin dan Mohamad Syahmi Firas masih menuntut di universiti dan politeknik.

“Mereka berjanji tidak akan mengulangi kesilapan dan keluarga turut komited membimbing mereka ke jalan yang betul,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan, yang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat kerana tindakan tersebut bertentangan dengan norma dan nilai awam.

Sebelum ini, polis menyerbu sebuah banglo di Jalan Kemumin, dipercayai lokasi perhimpunan hampir 100 lelaki, dan menahan 20 individu. Dalam serbuan itu, polis turut merampas ratusan kondom dan ubat HIV, hasil risikan dan maklumat awam.

BBerkaitan

Latest articles