Menteri Tuntut Pihak Sebar Fitnah Berkenaan MyKiosk Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menuntut permohonan maaf daripada pihak yang didakwa menyebarkan tohmahan berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk, sambil menegaskan warga kementeriannya telah bertungkus-lumus memastikan kejayaan projek tersebut.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun di Dewan Rakyat hari ini, Nga menegaskan bahawa walaupun terdapat kelemahan pentadbiran pada peringkat awal, usaha pemerkasaan telah dijalankan secara menyeluruh termasuk di negeri-negeri pembangkang.

“Pengisian MyKiosk belum capai 100 peratus, memang saya akui ada kelemahan. Tapi kita bukan jaguh TikTok yang suka sebar tohmahan di media sosial. Kita ahli dewan yang mulia ini,” tegas beliau.

Menurut Nga, pengisian MyKiosk 1.0 kini telah mencecah 91 peratus, manakala MyKiosk 2.0 mencapai 87 peratus setakat Julai 2025.

Jumlah unit terisi adalah 2,926 bagi fasa 1.0 (dilancarkan 2023) dan 3,518 unit bagi fasa 2.0 (dilancarkan 2024).

KPKT turut memperkenalkan sistem ‘lampu isyarat’ bagi menilai prestasi 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara berkaitan pengisian dan pengoperasian MyKiosk.

Sistem ini mengkategorikan pencapaian PBT kepada tiga warna: hijau (cemerlang), kuning (sederhana), dan merah (lemah).

“PBT yang cemerlang (lampu hijau) akan diberi peruntukan tambahan. Yang merah mungkin akan dikenakan pengurangan atau penarikan balik peruntukan,” kata Nga.

“Namun, KPKT tetap komited membantu PBT yang lemah untuk mengenal pasti punca kegagalan dan mencari penyelesaian.”

Nga turut menempelak tuduhan segelintir pihak yang mendakwa berlaku salah guna kuasa dan rasuah dalam pelaksanaan MyKiosk.

Beliau menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri telah menolak wujudnya sebarang elemen jenayah dalam isu tersebut.

“Sekarang ini, siapa yang baling batu, jangan simpan tangan. Saya menuntut mereka mohon maaf kepada warga KPKT yang telah bekerja keras,” katanya dengan nada tegas.

Pada 3 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam projek MyKiosk tidak menemui unsur jenayah, dan hanya menyentuh aspek tatakelola.

Inisiatif MyKiosk merupakan projek strategik kerajaan untuk menyediakan peluang niaga kepada rakyat, terutamanya golongan B40, menerusi penyediaan kiosk perniagaan moden di kawasan strategik seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles