PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengingatkan pihak pengurusan media agar tidak mengabaikan tanggungjawab semakan fakta sebelum sesuatu maklumat disiarkan, terutamanya melibatkan integriti penjawat awam.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata kekhilafan dalam laporan media bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah berisiko menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi awam.
“Kerajaan Madani sentiasa menghormati kebebasan media sebagai antara tiang seri demokrasi. Namun, kebebasan tanpa disiplin hanya menjauhkan kita daripada kebenaran,” katanya semasa Taklimat Harian PMO, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada isu tular baru-baru ini melibatkan infografik salah yang memaparkan Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, seolah-olah terlibat dengan aktiviti politik kepartian.
Kata Nashrul, kesilapan seperti ini menjejaskan imej penjawat awam dan boleh menimbulkan keraguan terhadap ketelusan pelantikan dalam institusi penguatkuasaan.
Sinar Harian sebelum ini memaklumkan telah menggantung tugas kakitangan dan penyelia Unit Media Sosial yang meluluskan grafik berkenaan serta membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Nashrul turut menjawab persoalan berkaitan pemeriksaan kesihatan tahunan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan dibuat lebih awal daripada kebiasaan.
“Tarikh pemeriksaan adalah bergantung kepada kelapangan Perdana Menteri. PMO juga tidak mengeluarkan kenyataan rasmi untuk elak kekeliruan kerana kenyataan tanpa keterangan pakar boleh mencetuskan spekulasi,” jelasnya.
Tambahnya, keputusan kesihatan pemimpin negara adalah amanah besar, dan ketelusan terbaik ialah melalui penjelasan langsung daripada pihak hospital, bukan kenyataan politik.
Mengulas tindakan pembakaran karikatur Perdana Menteri semasa perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nashrul menyatakan bahawa Anwar tidak berkecil hati, malah memahami semangat mahasiswa.
“Perdana Menteri memahami betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi. Kritikan yang lahir daripada niat tulus dan fakta harus dihargai dalam semangat demokrasi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berpesan agar mahasiswa UMS yang terlibat dalam perhimpunan tersebut tidak dibuang universiti.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, memaklumkan bahawa Perdana Menteri beranggapan pelajar mungkin tersilap langkah, namun masa depan mereka perlu diberi keutamaan.
Nashrul mengakhiri taklimat dengan menyatakan bahawa agenda reformasi kerajaan tidak akan terhenti.
“Kerajaan akan terus memperhalusi pelaksanaan reformasi secara berstruktur dan inklusif. Suara rakyat, khususnya anak muda, akan sentiasa menjadi pemangkin perubahan,” katanya.