SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menepis spekulasi kononnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bakal dikosongkan dalam masa terdekat, menyifatkannya sebagai “cakap-cakap politik berasaskan imaginasi”.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR menegaskan fokus utamanya kini adalah untuk menamatkan penggal pentadbiran kerajaan negeri dengan baik dan teratur.
“Itu hanya bayangan yang cuba dipaksakan melalui media sosial. Tidak semudah itu untuk kerusi dikosongkan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di IPK Selangor, hari ini.
Amirudin turut mengingatkan bahawa sebarang perubahan politik perlu diteliti secara mendalam bagi mengelak ketidaktentuan seperti episod ‘Langkah Kajang’ pada 2014.
“Kita belajar dari sejarah. Waktu ‘Kajang Move’, berbulan-bulan berlaku ketidaktentuan walaupun ada majoriti dua pertiga. Kini kita perlu fokus kepada kestabilan negeri dan negara.”
Mengulas isu jawatan kosong di peringkat Persekutuan, beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Amirudin turut menyentuh tentang penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR, sambil menyifatkan bekas Menteri Kewangan itu sebagai tokoh berkemampuan, namun masih baharu dalam arena politik.
“Dari sudut pentadbiran, kebolehannya tidak dipertikaikan. Tapi dalam politik, dia masih dalam proses menyesuaikan diri,” katanya.
Beliau turut menyambut baik langkah Zafrul menyertai PKR dan menyifatkannya sebagai lebih baik daripada menjadi pembangkang.
“Walaupun ada sedikit calar, itu boleh diselesaikan dengan perbincangan matang. Lebih baik beliau bersama dalam gabungan dan terus menyumbang kepada Kerajaan Perpaduan.”