KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang lelaki warga Britain akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di sebuah tapak pembinaan di Bangsar, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan identiti mayat itu sebagai Jordan Johnson-Doyle, 25, yang dilaporkan hilang sejak 2 Jun lalu.
Pengesahan dibuat oleh ahli keluarga mangsa yang berada di Malaysia untuk membantu pencarian.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan pada bahagian dada akibat jatuh dari tempat tinggi. Tiada unsur jenayah dikesan di lokasi penemuan,” kata Rusdi dalam kenyataan media hari ini.
Mayat Jordan ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian lif tingkat bawah sebuah projek pembinaan pangsapuri mewah di Bangsar Hill Park, kira-kira jam 6 petang semalam oleh pekerja tapak binaan.
Jordan dilaporkan tiba di Malaysia dari Vietnam pada 17 Mei lalu.
Lokasi terakhir beliau dikesan adalah di kawasan Bangsar, sebelum dilaporkan hilang oleh keluarganya.
Penemuan mengejut itu mengakhiri pencarian hampir tiga hari yang dijalankan oleh pihak berkuasa dengan bantuan komuniti dan ahli keluarga.
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, siasatan lanjut akan terus dijalankan bagi melengkapkan laporan penuh.