KUALA LUMPUR: “Kalau orang lain buat, saya marah. Tapi bila menteri PKR sendiri yang buat, saya malu.”
Demikian teguran Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, susulan tular video beliau mengajak murid sekolah mengucapkan “selamat hari lahir” kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rafizi menegaskan, sekolah bukan pentas untuk menyebarkan mesej politik atau menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin, sebaliknya perlu kekal bebas daripada pengaruh tersebut.
“Sekolah tempat membentuk ilmu dan budaya. Kalau sayang PMX, ucap sendiri… tak perlu libatkan murid,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut memberi amaran tindakan seperti ini boleh menjadi budaya tidak sihat jika diikuti menteri-menteri lain.
“Sepanjang saya jadi Ahli Parlimen, saya elak masuk sekolah untuk tujuan politik. Hanya sekali saya hadir, itu pun selepas dipujuk guru besar,” jelasnya.
Menurut Rafizi prinsip memisahkan politik daripada pendidikan perlu dipegang oleh semua pihak, termasuk menteri daripada partinya sendiri.
Beliau turut mengingatkan ahli PKR agar selepas ini tidak lagi mengkritik lawan politik yang membawa mesej politik ke sekolah, kerana tindakan sama kini dilakukan oleh pemimpin parti sendiri.
Kontroversi tercetus selepas video Fadhlina tular di media sosial, menunjukkan beliau menghadiri sebuah program di sekolah dan meminta murid mengucapkan:
“Selamat hari lahir PMX, we love you PMX.”
Walaupun kehadirannya tidak dipersoalkan, permintaan itu mencetuskan perdebatan hangat, ada yang menganggap ia tidak salah, namun ada juga yang mengkritik ia tidak wajar datang daripada seorang Menteri Pendidikan.