Malaysia Tak Gentar Tekanan AS, Tetap Hadir Persidangan PBB Isu Palestin – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap akan menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu hadapan meskipun dikatakan berdepan tekanan diplomatik dari Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kehadiran Malaysia adalah untuk menyuarakan keadilan kepada rakyat Palestin dan Gaza, selaras dengan pendirian teguh negara dalam isu kemanusiaan antarabangsa.

“Mana-mana negara berhak hadir untuk mengemukakan pandangan mereka, terutama dalam soal keadilan bagi rakyat Palestin dan Gaza. Itu pendirian kita,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Az-Zubair Ibnul Awwam, Cheras, hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Amerika Syarikat sedang melobi negara-negara asing agar tidak menyertai persidangan PBB yang dianjurkan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi dari 17 hingga 20 Jun di New York.

Persidangan itu dijangka menumpukan kepada usaha penyelesaian dua negara dalam konflik panjang antara Israel dan Palestin.

Menurut laporan, Washington memberi amaran bahawa negara yang mengambil pendirian menentang Israel akan dianggap bertentangan dengan dasar luar AS dan berisiko berdepan akibat diplomatik.

Anwar turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif diplomatik yang diterajui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, serta Perdana Menteri Perancis, dalam menganjurkan sidang tersebut.

“Saya menyokong inisiatif ini. Kita tidak boleh tunduk kepada tekanan. Malaysia akan hadir dan bersuara,” tegasnya.

Malaysia sebelum ini sentiasa konsisten dalam menyuarakan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan mengecam penindasan Israel terhadap rakyat Gaza dan Tebing Barat.

BBerkaitan

Latest articles