JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak akan campur tangan dalam urusan perundangan membabitkan taikun minyak Indonesia, Riza Chalid, yang kini menjadi suspek dalam skandal rasuah besar melibatkan import bahan api di negara itu.
Bercakap kepada media Indonesia dalam satu pertemuan bersama ketua pengarang di Jakarta, Anwar berkata Malaysia menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan di Indonesia.
“Biarkan proses undang-undang di Indonesia berjalan,” katanya seperti dipetik oleh Tempo.
Sebelum ini, pada 16 Julai lalu, Pemangku Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Yuldi Yusman, mendedahkan bahawa rekod menunjukkan Riza memasuki Malaysia pada 6 Februari, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta.
Pihak berkuasa Indonesia kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesahkan lokasi sebenar ahli perniagaan terbabit.
Awal bulan ini, The Jakarta Post melaporkan bahawa Riza telah dikenal pasti sebagai suspek utama dalam siasatan rasuah berkaitan import bahan api oleh anak-anak syarikat Pertamina, syarikat minyak dan gas milik negara Indonesia.
Skandal tersebut dikatakan menyebabkan kerugian berbilion rupiah, dengan penyiasat mendakwa mereka memiliki bukti kukuh terhadap penglibatan Riza.
Setakat ini, tujuh individu telah ditahan, termasuk anak lelaki Riza, Kerry Adrianto.
Siasatan ke atas kes ini sedang giat dijalankan oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia dan dijangka terus menjadi isu diplomatik sekiranya Riza terus bersembunyi di luar negara.