KUALA LUMPUR : Malaysia dan Laos memperkukuh hubungan perdagangan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan Thanaleng Dry Port, sebagai langkah strategik mempercepat aliran barangan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama ini menjadi model penting dalam pelaburan serantau, termasuk latihan dan pengurusan pelabuhan bersama Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
“Pelabuhan darat di Perlis dan Thanaleng di Laos kini berjalan lancar dan dijangka siap tahun ini. MoU dengan Pelabuhan Pulau Pinang akan memastikan kelancaran rantaian logistik dari Pulau Pinang ke Laos,” jelas Anwar dalam sidang media bersama Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone semalam.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama tenaga, termasuk mempercepat fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN, yang akan memberi manfaat kepada lima negara – Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia dan Singapura.
Fasa pertama projek itu melibatkan sambungan kabel dasar laut dari Vietnam ke utara Semenanjung Malaysia.
“Percepatan fasa kedua penting untuk memastikan akses tenaga serantau yang lebih cekap. Perkara ini akan dibawa ke sesi pemukiman pemimpin ASEAN,” kata Anwar.
Perbincangan turut menyentuh kerjasama dalam bidang buruh, digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga alternatif dan unsur nadir bumi.
Dalam perkembangan lain, Malaysia menyokong penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN yang dijangka dimuktamadkan Oktober ini, selain membincangkan usaha mewujudkan kereta api ekspres ASEAN bagi menghubungkan rantau ini dengan China.
Berhubung krisis Myanmar, kedua-dua negara bersetuju mengenai keperluan gencatan senjata segera serta meneruskan bantuan kemanusiaan selaras dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN.