KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang menteri dari rejim Israel yang menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada 7 April 2026, menyifatkannya sebagai provokasi serius yang mencabul kesucian salah satu tapak paling suci umat Islam.
Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam kenyataan menegaskan, insiden itu berlaku ketika masjid berkenaan ditutup kepada umat Islam, sekali gus dianggap sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tindakan tersebut turut disifatkan berpotensi menggugat keamanan serantau dan menjejaskan kebebasan beragama umat Islam di seluruh dunia.
Menurut kementerian itu, perlindungan terhadap Masjid Al-Aqsa serta tapak suci lain di Baitulmaqdis adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi di bawah kerangka undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa komuniti antarabangsa supaya mengecam tindakan berkenaan secara tegas dan mendesak Israel menghentikan segala bentuk provokasi.
Malaysia turut menyeru agar langkah konkrit diambil bagi mengelakkan kejadian serupa berulang, selain memastikan semua tapak suci di Baitulmaqdis kekal dilindungi dan boleh diakses oleh penganut pelbagai agama.
Dalam masa sama, negara ini menegaskan solidariti berterusan bersama rakyat Palestin serta komitmen mempertahankan warisan agama dan budaya mereka.
Malaysia juga menegaskan pendirian konsisten menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.










