PUTRAJAYA: Malaysia menyatakan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan berterusan rakyat Palestin di Gaza dan menegaskan pendiriannya yang tidak berbelah bahagi dalam memperjuangkan penyelesaian dua negara serta pengiktirafan penuh terhadap kenegaraan Palestin.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia mengambil maklum hasil Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi mengenai Penyelesaian Aman Isu Palestin yang berlangsung di New York baru-baru ini, yang menyaksikan sokongan global semakin meluas terhadap usaha tersebut.
“Persidangan ini menzahirkan kesedaran dan gesaan antarabangsa agar bantuan kemanusiaan disalur dengan segera dan tanpa halangan, di samping usaha lebih pragmatik serta berorientasikan tindakan untuk menjamin hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysia, menurut Mohamad, menyambut baik perubahan pendirian masyarakat antarabangsa yang kini lebih tegas mengutuk tindakan rejim Zionis dan menyokong pengiktirafan rasmi terhadap kenegaraan Palestin.
“Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa rejim Zionis mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai, pengusiran paksa serta sekatan ke atas bantuan kemanusiaan. Kegagalan Israel adalah pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Mohamad turut menzahirkan keprihatinan serius terhadap krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing sejak tercetusnya serangan Israel pada Oktober 2023.
Sehingga kini, lebih 60,000 rakyat Palestin terkorban manakala hampir 150,000 lagi cedera.
Dalam tempoh sama, seramai 1.9 juta penduduk dipaksa meninggalkan kediaman mereka, menjadikan Gaza kawasan penuh penderitaan dan kehancuran.
“Sekatan berterusan Israel telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan bahan api. Kini ribuan rakyat Palestin termasuk kanak-kanak berada di ambang kebuluran akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan,” katanya.
Malaysia juga memandang serius insiden tragis sejak akhir Mei 2025, apabila lebih 1,300 rakyat Palestin terbunuh hanya kerana beratur untuk mendapatkan bantuan daripada Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
“Ini adalah tindakan tidak berperikemanusiaan yang perlu disiasat secara telus. Pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Malaysia, jelas Mohamad, kekal komited menyokong pembentukan negara Palestin yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Beliau turut menggesa keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai langkah penting ke arah penyelesaian damai yang menyeluruh.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan hak mereka untuk menentukan masa depan mereka sendiri. Solidariti ini tidak akan goyah,” tegas beliau.