Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 7 hingga 11 Julai 2025.
Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi, penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi negara yang inklusif dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Penyertaan ini juga membawa manfaat strategik kepada negara, termasuk pengiktirafan global terhadap kepimpinan Malaysia dalam memperluas capaian internet luar bandar, memperkukuh keterangkuman teknologi serta memperkasa celik ICT rakyat, selari dengan nilai kesejahteraan yang didukung oleh Malaysia MADANI.
Malaysia turut memanfaatkan pentas WSIS untuk memperkenalkan dua inisiatif utama – Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) – yang meneguhkan kedudukan negara sebagai peneraju serantau dalam transformasi teknologi komunikasi.
WSIS, anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merupakan platform global yang menghimpunkan pemimpin dunia untuk memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi ke arah pembangunan mampan. Ia merangkumi rangka kerja Garis Tindakan WSIS, yang meliputi 11 bidang tumpuan termasuk infrastruktur, pembangunan kapasiti, keselamatan siber dan persekitaran sokongan.
Sejak diperkenalkan pada 2012, Anugerah WSIS telah mengiktiraf 234 pemenang dan 648 projek berimpak tinggi dari seluruh dunia.
Sepanjang WSIS+20, Datuk Fahmi dijadual mengadakan lebih 10 pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara-negara termasuk United Kingdom, Arab Saudi, Poland, Somalia, Greece, Rusia dan Algeria. Beliau juga dijadualkan bertemu Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Doreen Bogdan-Martin, bagi membincangkan kerjasama strategik dalam bidang digital dan komunikasi global.