SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa fatwa tahun 2014 berkaitan pemikiran liberalisme dan pluralisme agama tidak terpakai ke atas SIS Forum (Malaysia) kerana statusnya sebagai syarikat.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin menegaskan keputusan itu boleh membuka ruang kepada kumpulan tidak bertanggungjawab menggunakan nama Islam untuk menyebar ajaran sesat tanpa boleh diambil tindakan.
“Ini boleh mengelirukan umat Islam dan menjejaskan akidah. SIS jelas menggunakan nama ‘Sisters in Islam’ dan aktif dalam isu-isu berkaitan agama,” katanya.
Beliau menyokong pendirian berbeza oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais yang berpandangan fatwa tersebut tetap terpakai ke atas SIS meskipun ia adalah entiti bukan individu, kerana identitinya berasaskan Islam dan dipimpin oleh orang Islam.
MAIS turut memberi jaminan akan terus memantau dan membanteras penyebaran ajaran sesat di Selangor serta menyeru orang ramai menjauhi program yang mempromosi fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan kekecewaan atas keputusan itu dan menitahkan supaya SIS Forum tidak lagi menggunakan nama “Sisters in Islam” dalam sebarang penerbitan agar tidak mengelirukan masyarakat.
Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan bahawa fatwa 2014 hanya terpakai kepada individu, bukan pertubuhan atau syarikat.
Namun mahkamah turut menegaskan fatwa terhadap ajaran sesat masih sah, selagi ia tidak melangkaui bidang kuasa negeri.