Mahkamah Perintah Pemilikan Hotel Seri Pacific Diserah Kepada UMNO

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan agar sebidang tanah strategik di ibu negara yang menjadi lokasi Hotel Seri Pacific dipindah milik sepenuhnya kepada UMNO dalam tempoh 30 hari.

Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Roz Mawar Rozain selepas parti itu dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan mencapai penyelesaian persetujuan bersama berhubung status pemilikan tanah berkenaan, yang sebelum ini didaftarkan atas nama empat tokoh politik UMNO sebagai pemegang amanah.

Dalam penghakimannya, Hakim Roz Mawar menyatakan bahawa hartanah berkenaan, yang dikenali sebagai “Geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur”, telah dipegang secara amanah untuk manfaat UMNO dan kini perlu didaftarkan atas nama parti tersebut dengan semua hak dan kepentingan sah.

“Mahkamah juga memerintahkan agar Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan mengambil segala langkah yang perlu untuk melaksanakan proses ini mengikut Seksyen 420 Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.

Peguam UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengesahkan kepada media bahawa tanah berkenaan merujuk kepada tapak Hotel Seri Pacific, sebuah hotel ikonik yang terletak bersebelahan WTCKL, lokasi utama persidangan dan acara nasional.

“Dengan keputusan ini, isu pemindahan milik Hotel Seri Pacific telah selesai secara muktamad. Semua keengganan untuk menandatangani atau memproses pemindahan kini dianggap selesai dan bersifat akademik,” ujarnya.

Tanah berkenaan sebelum ini didaftarkan atas nama empat pemimpin UMNO yang pernah menjawat jawatan penting negara, termasuk Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.

Mereka bertindak sebagai pemegang amanah bagi pihak parti.

Namun, proses pemindahan milik mula terbantut apabila dua daripadanya, Sanusi dan Daim, meninggal dunia masing-masing pada 2018 dan 2024.

Isu berlarutan sejak 2015 apabila UMNO memohon pemindahan milik selepas mendapat kelulusan rasmi daripada Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan pada Disember tahun tersebut.

Namun, borang pemindahan (14A) ditolak pada 2016 disebabkan ketidakpadanan maklumat nama dalam dokumen pengenalan.

UMNO akhirnya memfailkan saman pemula pada 6 Mac 2025 melalui Setiausaha Kerja parti, Datuk Mohd Sumali Reduan, bagi mendapatkan pengesahan pemilikan selaras dengan Fasal 27.1 Perlembagaan UMNO dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

BBerkaitan

Latest articles