Lori Langgar Arah Jadi Punca Nahas Trak FRU – Laporan Awal MOT

GERIK: Tindakan pemandu lori batu memasuki lorong bertentangan dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan tragis yang mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Gerik-Kupang, 13 Mei lalu.

Menurut laporan awal Kementerian Pengangkutan (MOT), lori berkenaan bukan sahaja memasuki laluan bertentangan, tetapi membawa muatan tidak dibenarkan, iaitu batu kerikil, walaupun berdaftar sebagai lori pengangkut arang batu.

Lori jenis rigid itu turut melebihi had berat dibenarkan sebanyak 70.67 peratus, dengan muatan hampir 41 tan, berbanding had maksimum 24 tan.

Ia menyumbang kepada tenaga impak dua kali ganda dalam nahas.

Audit keselamatan (JISA) menunjukkan lori tersebut hanya mencatat skor 15 peratus dan gagal dalam semua tujuh aspek pemeriksaan wajib.

MOT memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti faktor menyeluruh melibatkan manusia, organisasi dan kondisi kenderaan.

Dalam nahas tersebut, lapan anggota FRU maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami.

BBerkaitan

Latest articles