IPOH: Seorang lelaki berusia 57 tahun ditemui maut dengan kesan tikaman di perut dan hirisan di dada dalam kejadian menyayat hati di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Tasek Damai, malam tadi.
Mangsa yang bekerja sambilan sebagai penjual produk kesihatan dikatakan tinggal bersama anak lelakinya di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata susulan penemuan tersebut, seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga anak kepada mangsa ditahan di hadapan rumah tersebut sekitar jam 12.15 tengah malam bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian kanan perut dan hirisan di dada kanan mangsa.
“Pemeriksaan forensik menemui sebilah pisau kecil berhulu kayu sepanjang 22 sentimeter yang telah dibersihkan di atas sinki dapur. Senjata itu dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut keterangan awal suspek kepada polis, dia memaklumkan pintu pagar rumah dalam keadaan tertutup manakala pintu jeriji dan pintu kaca tidak berkunci ketika dia pulang ke rumah.
“Sofa di ruang tamu juga kelihatan berselerak sebelum dia mendakwa menemui bapanya dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang dapur dan tidak sedarkan diri,” kata Abang Zainal.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, kamera papan pemuka kereta (dashcam) dan dekoder CCTV bagi membantu siasatan lanjut.
Setakat ini, polis belum mengesahkan motif pembunuhan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan,” jelas Ketua Polis Daerah Ipoh.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.