KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan polis semalam selepas disyaki memukul anak kandungnya yang berusia 13 tahun menggunakan tangan dan alat ganti kereta, iaitu getah timing belt, sehingga menyebabkan kecederaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa membantu suspek membaiki kenderaan di Kampung Sharip, sebelum dipukul dalam keadaan yang dipercayai agresif.
“Mangsa mengalami lebam di bahagian belakang, rusuk dan kaki kanan akibat dipukul. Kejadian dilaporkan oleh bekas isteri suspek selepas menerima gambar kecederaan anak mereka melalui mesej WhatsApp daripada seorang lagi anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bertindak menahan suspek pada jam 12.10 tengah hari di lokasi kejadian.
Menurut Jimmy, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat yang boleh mendatangkan bahaya.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau gabungan mana-mana hukuman tersebut,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menggunakan kekerasan dalam mendidik anak dan menyeru agar sebarang bentuk penderaan dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.