Lelaki Didakwa Dera, Bunuh Anak Kekasih

ALOR GAJAH: Seorang lelaki berusia 20 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia 19 bulan, yang merupakan anak kandung kekasihnya, dalam kejadian menyayat hati yang berlaku dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Isyraf didakwa menyebabkan kematian bayi itu di tingkat tiga sebuah premis kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang, Alor Gajah, sekitar jam 9 malam pada 6 Julai 2025.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Isyraf berdepan hukuman mati.

Sekiranya tidak dihukum mati, beliau boleh dikenakan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi menunggu laporan bedah siasat lengkap.

Tertuduh hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 September 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes tragis ini terbongkar apabila pihak Hospital Tampin menerima seorang bayi perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 11 malam pada 6 Julai.

Pasangan kekasih itu didakwa menghantar sendiri bayi berkenaan ke hospital sebelum doktor yang merawatnya membuat laporan polis selepas menemui kecederaan luar biasa pada tubuh mangsa.

Menurut sumber, bayi malang itu mengalami kesan lebam di bahagian perut dan belakang badan, selain kecederaan serius di bahagian dubur, dipercayai akibat penderaan fizikal yang berulang.

Polis kemudian menahan pasangan terbabit dan menahan reman kedua-duanya selama tujuh hari bermula 7 Julai lalu.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit yang bekerja di sebuah kedai pancing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan perjudian, manakala kekasihnya yang merupakan ibu kepada mangsa dan seorang penganggur tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Bayi perempuan yang menjadi mangsa dipercayai hasil perkahwinan wanita terbabit dengan bekas suaminya.

BBerkaitan

Latest articles