Langgar Etika Disiplin: TDM Siasat Gambar Seragam Tentera Di Kelab Malam

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) membuka kertas siasatan terhadap seorang anggotanya yang didakwa mengenakan pakaian seragam tentera ketika berada di sebuah premis hiburan, susulan gambar tular di media sosial sejak Isnin lalu.

Gambar tersebut menunjukkan individu berkenaan berada di lokasi yang memaparkan logo Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan mengenai tahap disiplin serta etika anggota pasukan keselamatan.

Dalam satu kenyataan rasmi, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan oleh Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) bagi mengenal pasti butiran kejadian serta kesahihan imej yang tersebar.

“Tentera Darat memandang serius isu ini kerana ia menyentuh aspek disiplin, keselamatan dan imej pasukan. Siasatan menjurus kepada kemungkinan wujud pencemaran keselamatan dan penglibatan anasir subversif yang boleh menjejaskan integriti institusi ketenteraan,” kata kenyataan itu.

Sekiranya siasatan membuktikan berlaku pelanggaran peraturan, anggota terbabit boleh dikenakan tindakan tatatertib yang tegas kerana mencemarkan nama baik dan kredibiliti TDM.

“Walaupun tindakan tersebut mungkin bersifat peribadi, imej berpakaian seragam di lokasi tidak bermoral seperti premis hiburan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap keseluruhan pasukan,” jelas kenyataan tersebut lagi.

TDM turut menegaskan bahawa pemantauan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan anggota akan diperketat bagi mencegah kejadian serupa pada masa hadapan.

Insiden ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet selepas gambar tersebut dimuat naik di TikTok, dipercayai dirakam di sebuah lokasi hiburan di ibu negara.

BBerkaitan

Latest articles