KPM Lancar Siasatan Susulan Pelajar Maut Dirempuh Kereta Dalam Kawasan Sekolah

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memulakan siasatan dalaman susulan insiden tragis yang meragut nyawa seorang pelajar perempuan dalam kawasan sekolah di Kelantan, semalam.

Dalam kenyataan rasmi malam tadi, KPM memaklumkan siasatan tersebut bertujuan menilai tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), khususnya melibatkan aspek keselamatan di institusi pendidikan.

“Pada masa sama, kes ini turut berada dalam siasatan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dirempuh sebuah kereta kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Seorang lagi pelajar yang turut terlibat dalam kejadian tersebut mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan dipandu wanita dan dua pelajar sekolah.

“Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaan terbabas, lalu melanggar dua pelajar yang berada di hadapan surau serta merempuh tiang batu,” katanya.

Dalam pada itu, KPM menegaskan semua institusi di bawah kementerian itu perlu memberi keutamaan kepada keselamatan pelajar, guru dan warga sekolah bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.

Kementerian turut memaklumkan bantuan sewajarnya sedang disalurkan kepada keluarga mangsa, dengan kebajikan mereka diberi perhatian.

“KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan ini,” menurut kenyataan itu lagi.

BBerkaitan

Latest articles