PETALING JAYA: Pihak pembelaan dalam kes pengabaian kanak-kanak melibatkan Zayn Rayyan Abdul Matin berhujah bahawa reaksi ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, yang menangis ketika mayat anaknya ditemui, adalah bukti konsisten menunjukkan dia bukan pelaku bersalah.
Menurut penghujahan bertulis setebal 127 muka surat yang difailkan oleh Tetuan Haresh Mahadevan & Co., Ismanira dilihat menangis oleh pegawai polis dan jiran ketika mayat Zayn ditemui di aliran sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, 6 Disember lalu.
Peguam menyatakan, tiada bukti langsung mengaitkan Ismanira mahupun suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, dengan dakwaan pengabaian.
Sebaliknya, mereka mendakwa siasatan banyak bergantung kepada tanggapan serta andaian pegawai penyiasat, bukan keterangan saksi mata.
“Ismanira aktif mencari anaknya dalam keadaan cemas dan berpeluh-peluh, seperti disahkan saksi pendakwaan sendiri. Ia menyanggah dakwaan pengabaian,” kata pihak pembelaan.
Mereka juga menolak dakwaan bahawa tindakan Ismanira membiarkan Zayn berjalan di belakang ketika pulang dari sekolah sebagai pengabaian, memetik keterangan saksi yang menyatakan Zayn seorang kanak-kanak autisme yang pasif dan mudah dikawal.
Selain itu, peguam mendakwa terdapat usaha oleh pihak polis mempengaruhi saksi untuk mengubah kenyataan mereka, menurut pengakuan salah seorang saksi.
Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 28 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 20 hari.
Keputusan sama ada pasangan tersebut perlu membela diri akan diumumkan pada 21 Julai ini oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya.