KUALA KUBU BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes bunuh melibatkan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan bahawa kebenaran membawa kes ke peringkat lebih tinggi telah diperoleh.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan mengesahkan semua dokumen penting, termasuk laporan kimia dan patologi, telah lengkap bagi tujuan pendakwaan.
Tertuduh, seorang anggota polis berpangkat lans koperal, didakwa menyebabkan kematian Nur Farah, 26, antara 10 hingga 15 Julai 2024 di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Kes ini menarik perhatian ramai apabila Nur Farah dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Mayatnya ditemui lima hari kemudian dalam ladang kelapa sawit di Felda Gedangsa, dalam keadaan mencurigakan.
Siasatan polis mendapati pembunuhan itu berkemungkinan dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa.