Kereta Terbabas Dalam Gaung, Ibu, Bayi 18 Bulan Maut

DUNGUN: Hasrat sebuah keluarga untuk pulang ke rumah berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita dan anak perempuannya berusia 18 bulan maut, manakala empat ahli keluarga lain cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam gaung di Jalan Kilang Kelapa Sawit, Gugusan Rasau Kerteh, petang semalam.

Mangsa, Nur Suhailla Azman, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak bongsunya, Nur Aira Humaira Mohamad Sharool, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang, ketika kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Kerteh 4 selepas urusan di bandar Dungun.

“Kereta jenis Honda Civic yang dipandu suami mangsa, Sharool Nizam Hamzah, 32, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Impak kemalangan menyebabkan beberapa penumpang tercampak keluar dari kenderaan.

Dalam insiden ngeri itu, ibu mertua mangsa, Timah, 73, dan seorang lagi anak mereka, Ruzaimi Abd. Rashid, mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, Sharool Nizam dan anak sulungnya, Nur Aisya Humaira, 3 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, manakala jenazah dua beranak tersebut dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

Menurut Maizura, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas dan keadaan jalan ketika kejadian.

“Kami menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memandu dengan berhati-hati, terutamanya di jalan-jalan yang berselekoh dan kurang pencahayaan,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles