KUALA LUMPUR: Sebuah kereta yang dipercayai berkait dengan kehilangan misteri Datin Seri Pamela Ling Yueh, 52, didakwa telah ditemui dalam keadaan terbengkalai berhampiran sempadan Malaysia-Thailand beberapa minggu lalu.
Perkara itu didedahkan oleh peguam keluarga mangsa, Sangeet Kaur Deo, yang menyatakan bahawa penemuan tersebut dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Namun sehingga kini, tiada perkembangan lanjut berhubung keputusan ujian forensik terhadap kenderaan berkenaan dimaklumkan kepada keluarga.
“Kami dimaklumkan bahawa salah sebuah kereta yang dirakam menerusi CCTV telah ditemui berhampiran sempadan Thai. Tetapi hingga kini, tiada maklumat diberikan berhubung ujian forensik terhadap barangan dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih mengecewakan, kata Sangeet, walaupun lebih 47 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan, keluarga mangsa masih belum menerima maklumat konkrit dari pihak polis.
“PDRM sama ada tidak cekap atau enggan menyiasat kes ini secara serius. Kami telah memberikan lebih banyak maklumat daripada yang diminta, namun tidak satu pun ditindak balas secara profesional,” ujarnya.
Sangeet turut mempersoalkan sama ada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah disoal siasat secara menyeluruh, memandangkan kehilangan Pamela dipercayai berlaku ketika beliau dalam perjalanan untuk menyerahkan maklumat penting kepada SPRM.
“Apakah jenis maklumat yang disampaikan oleh Pamela kepada SPRM dan siapa pihak berkepentingan yang mungkin terkesan? Adakah mereka ini sudah dirakam percakapan?” soalnya.
Keluarga turut menggesa penjelasan daripada pihak berkuasa sama ada Polis Antarabangsa (Interpol) telah dimaklumkan, memandangkan tidak mustahil Pamela sudah dibawa keluar dari negara ini.
“Kami percaya siasatan ini tidak diambil serius. Sikap pilih kasih dalam penyiasatan menunjukkan ketidaktelusan yang menafikan hak asasi keluarga mangsa dan rakyat Malaysia,” tegasnya.
Pamela dilaporkan hilang sejak April lalu selepas menaiki kenderaan e-hailing dari kediamannya di Kota Damansara ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar jam 9 pagi.
Pemandu e-hailing itu kemudian membuat laporan polis dan mendakwa wanita berkenaan telah ‘dibawa pergi’ oleh tiga individu dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebaik tiba di lokasi berhampiran bangunan SPRM.