Kerajaan Setuju Kecualikan Cukai Untuk Epal, Oren

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberikan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import tertentu termasuk epal dan oren susulan maklum balas orang ramai berhubung harga buah tempatan dan import, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun kerajaan mahu menggalakkan rakyat mengutamakan buah-buahan tempatan seperti jambu, rambutan dan durian, langkah pengecualian cukai ke atas dua buah import utama itu dibuat bagi memastikan golongan berpendapatan rendah masih mampu mendapat pilihan makanan sihat.

“Semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita dengar keluhan rakyat, ada yang masih nak makan epal dan oren sebab lebih murah.

“Jadi, walaupun ada sedikit cukai untuk import buah-buahan lain, kita beri pengecualian untuk epal dan oren,” katanya dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI, hari ini.

Perdana Menteri berkata, keutamaan tetap diberikan kepada buah-buahan tempatan yang kaya dengan khasiat dan mudah diperoleh mengikut musim.

“Avokado pun sekarang dah ditanam di Sabah. Kita ada banyak buah.. langsat, duku, rambutan, durian. Tapi saya tengok, golongan B40 masih makan epal dan oren import, jadi kita timbangkan semula,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan had nilai ambang bagi perusahaan kecil dan penjaja mikro daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

“Kita naikkan kerana setengah juta terlalu rendah. Langkah ini supaya rakyat terus sokong usaha reformasi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan kemudian.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kerajaan akan meneliti semula peluasan SST beberapa komoditi import tertentu termasuk buah-buahan seperti epal dan oren.

Menurutnya, memandangkan buah-buahan itu diimport sepenuhnya dari luar, cadangan untuk mengenakan SST antara lima hingga 10 peratus perlu diteliti semula.

Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025.

Projek pembangunan Kota MADANI dilancarkan hari ini dijangka menjadi model pembangunan bandar berteraskan nilai inklusif, mampan dan mesra rakyat, kerajaan Persekutuan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keperluan penjawat awam serta penduduk setempat diberi keutamaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles