SEREMBAN: Presiden Persatuan Kanu Negeri Sembilan (NESCA), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, merafak sembah memohon agar Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin dapat duduk semeja dan berbincang secara terbuka bagi mencapai kata sepakat berhubung kemelut yang sedang berlaku di negeri itu ketika ini.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, pendekatan berasaskan muafakat perlu diutamakan selaras dengan prinsip adat Negeri Sembilan yang menekankan kesepakatan sebagai asas kekuatan masyarakat.
“Dalam keadaan ini, marilah kita semua bertenang dan bermuhasabah diri. Ingatlah pesan adat kita, bulat kata kerana muafakat. Hanya dengan muafakat kita akan jadi kuat, kerana kita ini bagai aur dengan tebing, tak dapat dipisahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, NESCA menyeru semua pihak agar bertenang dan bermuhasabah diri susulan isu pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang kini hangat diperkatakan.
Tambah beliau, perbincangan tersebut perlu mengutamakan adat, syarak serta kesejahteraan rakyat demi memastikan keharmonian negeri terus terpelihara.
Beliau turut menyatakan harapan agar segala kemelut dapat diselesaikan dengan penuh hikmah dan kasih sayang, sekali gus memelihara maruah institusi istana serta kestabilan Negeri Sembilan.
Beliau turut merafak sembah memohon agar Ayahanda-Ayahanda Undang Yang Empat serta Ayahanda Tunku Besar Tampin sudi duduk semeja bagi mencari kata sepakat secara terbuka dan penuh hikmah.
“Dengan penuh takzim, patik merafak sembah memohon agar Ayahanda-Ayahanda Undang Yang Empat serta Ayahanda Tunku Besar Tampin sudi duduk semeja, berbincang dengan hati yang terbuka demi mencari kata sepakat,” ujarnya.
Tambah beliau, keutamaan harus diberikan kepada adat, syarak dan kesejahteraan rakyat supaya segala kemelut dapat diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan.
“Semoga segala yang kusut dapat dirungkaikan dengan hikmah dan kasih sayang, demi menjaga maruah Istana dan keharmonian Negeri Sembilan yang kita cintai. Daulat Tuanku,” katanya.
Undang Yang Empat sebelum ini telah mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11, berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman tersebut disampaikan oleh bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak di Balai Undang Luak Sungai Ujong, Ampangan sekitar pukul 6.15 petang pada Isnin lalu.
Majlis itu turut dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; serta Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Langkah berkenaan diambil selaras dengan peruntukan Perkara 10 (1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.










