Keluarga Zara Qairina Rayu AGC Tangguh Tuduhan, Mahu Pertuduhan Lebih Berat Dikenakan

KOTA KINABALU: Peguam kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir merayu agar Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pertuduhan terhadap lima remaja perempuan yang dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok.

Menurut peguam keluarga, Hamid Ismail, penangguhan itu penting bagi membolehkan pihak pendakwaan mempertimbangkan pertuduhan lebih berat ke atas semua suspek.

“Kami dimaklumkan lima remaja terbabit akan dituduh bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli.

“Namun, kami berpendapat pertuduhan seharusnya dibuat bawah Seksyen 507D(2) yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

“Jika siasatan sedia ada belum mencukupi, ia wajar dilengkapkan terlebih dahulu supaya pendakwaan dapat dijalankan mengikut peruntukan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamid menegaskan, jika pertuduhan ringan diteruskan dan kesemua suspek mengaku bersalah, ia boleh menyukarkan pendakwaan semula dengan kesalahan lebih berat pada masa depan.

“Kami khuatir keadaan ini akan terhalang oleh prinsip ‘double jeopardy’ di bawah Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan, yang menghalang seseorang didakwa dua kali bagi kesalahan sama,” jelasnya.

Pihak peguam keluarga telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar pagi ini melalui emel bagi memohon pertimbangan semula.

Semalam, Mohd Dusuki memaklumkan lima remaja perempuan akan dituduh di mahkamah berhubung kes membabitkan pelajar Tingkatan 1 itu.

Prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan semua tertuduh berusia bawah 18 tahun.

Zara, 13, meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth I selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar, sehari sebelum itu.

Jenazahnya kemudian digali semula pada 9 Ogos susulan arahan AGC bagi melengkapkan siasatan, sebelum dikebumikan semula pada hari sama selepas selesai proses bedah siasat.

BBerkaitan

Latest articles