Kebocoran Maklumat Sulit Akaun, Public Bank Diarah Bayar RM90 Juta Kepada NFCorp

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Public Bank Bhd. membayar RM90 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat pihak lain selepas didapati melanggar kontrak kerahsiaan sehingga menyebabkan maklumat sulit akaun bank mereka bocor pada tahun 2012.

Keputusan sebulat suara itu diumumkan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abu Bakar Jais dalam prosiding taksiran ganti rugi yang berlangsung hari ini.

Menurut keputusan mahkamah, Public Bank diperintah membayar RM30 juta masing-masing bagi ganti rugi saksama, teruk dan teladan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM90 juta, selain kos RM300,000 dan faedah dua peratus bermula hari ini sehingga pembayaran penuh diselesaikan.

Tan Sri Hasnah ketika membacakan keputusan berkata, Mahkamah Rayuan sebelum ini terkhilaf apabila hanya memberikan ganti rugi nominal RM10,000, sedangkan bukti dan laporan kewangan yang diaudit telah dikemukakan oleh NFCorp.

“Panel ini berpuas hati bahawa dokumen dan laporan kewangan yang dikemukakan tidak dicabar secara substantif oleh pihak bank. Sebaliknya, hanya kredibiliti saksi pakar yang dipersoalkan,” katanya.

Panel turut menegaskan bahawa pihak Public Bank gagal membuktikan hujahan balas terhadap dokumen kewangan yang dikemukakan, justeru mahkamah berpihak kepada NFCorp dan empat plaintif lain.

NFCorp memfailkan saman terhadap Public Bank pada 22 Mei 2012, mendakwa pihak bank telah melanggar kontrak untuk menjaga kerahsiaan maklumat akaun mereka.

Kebocoran data itu didakwa telah digunakan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli, yang ketika itu merupakan Naib Presiden PKR, bagi menyokong dakwaan bahawa syarikat tersebut menyalahgunakan pinjaman kerajaan untuk pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.

Akibat pendedahan itu, NFCorp dan tiga anak syarikatnya, National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., dan Real Food Company Sdn. Bhd., mendakwa reputasi perniagaan mereka musnah serta kredibiliti mereka tercalar di mata umum.

Bagaimanapun, pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut atas alasan kegagalan plaintif membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Namun, keputusan itu diubah oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas meneliti semula kesemua bukti dan penghujahan.

NFCorp diwakili oleh pasukan guaman diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Public Bank diwakili oleh Chan Kok Keong, Poh Choo Hoe dan Tiang Min Hin.

BBerkaitan

Latest articles