KDN Teliti Pindaan Undang-Undang, Perketat Penguatkuasaan Cegah Kecurian Kabel Rel

Putrajaya – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan untuk meminda peruntukan undang-undang sedia ada bagi membanteras insiden kecurian kabel yang semakin serius dan menjejaskan operasi sistem pengangkutan rel negara, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya telah memanggil semua pengendali perkhidmatan kereta api yang telah beroperasi sekian lama seperti KTM, Monorel dan lain-lain, termasuk operator projek ECRL yang masih dalam fasa pembinaan, bagi mengadakan satu perbincangan bersama.

Menurut beliau, pertemuan yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke, telah mencapai tiga ketetapan utama.

Saifuddin menjelaskan bahawa terdapat dua jenis kabel dalam sistem rel, iaitu kabel kuasa (power) dan kabel isyarat (signal), namun kabel isyarat menjadi sasaran utama pencuri kerana boleh dijual segera kepada kilang besi buruk.

“Kabel ini dijual pada harga sekitar RM30 sekilogram kerana mengandungi bahan logam bernilai tinggi. Semua kilang pelupusan dan besi buruk berada di bawah sistem pelesenan yang berkait dengan KDN, sebab itu kita tahu ke mana kabel ini dijual,” katanya ketika ditemui dii majlis libat urus Menteri Dalam Negeri bersama warga AKPS di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan pengendali sedia ada seperti KTM, malah turut berlaku pada projek yang belum beroperasi seperti ECRL, khususnya di Pahang yang kini mencatatkan insiden tertinggi.

“Pemasangan kabel sedang berjalan di Pahang dan akan disusuli di Terengganu serta Kelantan. Walaupun bekalan kuasa belum diaktifkan, kabel signal dan kabel kuasa sudah dicuri,” katanya.

Susulan itu, Saifuddin berkata KDN akan meneliti semua pemegang lesen kilang pelupusan dan besi buruk, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati membeli kabel curi.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka jika terbukti terlibat,” tegasnya.

Sementara itu, Saiffudin turut menggesa agar pengendali rel untuk melabur dalam teknologi keselamatan seperti yang diamalkan di negara maju seperti Jerman dan China.

“Di China, kecurian kabel rel boleh dikenakan hukuman mati kerana ia boleh menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa. Kita tidak sampai ke tahap itu, tetapi kita perlu mengambil serius soal pencegahan,” katanya.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti sama ada peruntukan dalam akta dan seksyen sedia ada masih relevan dengan situasi semasa, dan akan mencadangkan pindaan jika perlu.

Sebagai contoh, beliau menyentuh mengenai penyalahgunaan pas sosial oleh warga asing untuk bekerja atau berniaga, yang kini hanya dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan.

“Kita terima aduan daripada Dewan Perniagaan. Ada yang masuk sebagai pelancong, ambil tempahan, balik ke negara asal, siapkan produk dan hantar semula ke Malaysia dengan harga murah. Ini menjejaskan peniaga tempatan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kerajaan kekal komited terhadap liberalisasi visa bagi menarik pelancong, dengan sasaran 43 juta pelawat tahun ini dan kutipan dianggarkan melebihi RM300 bilion.

Namun, katanya, keseimbangan perlu dicapai antara kemudahan kemasukan pelancong dan perlindungan terhadap keselamatan serta ekonomi negara katanya.

BBerkaitan

Latest articles