Karma Politik Atau Prinsip? – Isham Jalil Sindir Rafizi

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil tampil dengan reaksi terhadap peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi, menyifatkan tindakan itu bukan kerana prinsip tetapi kerana tiada pilihan.

Dalam satu kenyataan, Isham menyindir Rafizi sebagai individu yang kini “merasai hukum karma politik” selepas sekian lama aktif menjatuhkan musuh politik melalui kempen negatif.

“Dia tahu apa yang dia buat. Dah banyak kali jatuhkan orang, caci, cemuh. Hari ini, dia dijatuhkan oleh partinya sendiri. Ini kifarah,” katanya.

Rafizi sebelum ini mengumumkan akan melepaskan jawatan Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, susulan kekalahannya dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR pada Kongres Nasional 2025.

Menurut Isham, keputusan Rafizi untuk berundur sebenarnya datang daripada tekanan dan rasa malu selepas ditolak ahli parti sendiri.

“Kalau dia tak letak jawatan, setiap hari dia masuk pejabat sebagai menteri dalam dua tahun akan datang, dia akan rasa malu. Orang kenal dia tahu dia seorang yang emosional, bukan jenis tahan tekanan,” ujarnya.

Isham turut mempersoalkan prestasi Rafizi sepanjang memegang portfolio ekonomi negara.

“Dia sendiri mengaku susah jadi Menteri Ekonomi. Hutang negara makin tinggi, harga minyak naik, janji tinggal janji. Seperti yang Najib (Razak) kata, dia tak faham ekonomi,” katanya lagi.

Namun begitu, Isham menyeru agar Rafizi mengambil iktibar daripada pengalaman ini dan membina semula karier politiknya dengan lebih matang.

“Kalau dia belajar dari episod ini, dia masih berpotensi jadi pemimpin yang baik. Mungkin satu hari nanti, jadi Presiden PKR pula,” ujar Isham.

BBerkaitan

Latest articles