PUTRAJAYA: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kini secara rasmi diberi tanggungjawab tambahan untuk menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Jemaah Menteri yang bersidang pada Rabu, 9 Julai 2025 bahawa beliau bersetuju supaya Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum ini kosong selepas penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 4 Julai lalu.
Pengumuman Nik Nazmi dibuat lebih awal pada 28 Mei, beberapa jam selepas Menteri Ekonomi ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan, turut mengumumkan perletakan jawatan beliau berkuat kuasa 17 Jun.
Pelantikan Johari bagi memangku portfolio berkenaan dilihat penting bagi memastikan kelangsungan dasar dan program kementerian tersebut, termasuk berkaitan pengurusan sumber asli, pemuliharaan alam sekitar dan usaha mencapai sasaran pembangunan mampan negara.