Jho Low Tukar Identiti, Guna Pasport Palsu Untuk Daftar Syarikat Di UK

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan berkaitan skandal 1MDB, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, didakwa menggunakan pasport palsu Australia untuk menubuhkan sebuah syarikat di United Kingdom (UK), menurut wartawan penyiasatan terkenal, Tom Wright.

Menerusi laporan Free Malaysia Today (FMT), Tom mendakwa Jho Low menggunakan nama dan tarikh lahir palsu dalam pasport tersebut untuk mendaftarkan syarikat bernama Wisdom Opensto Technology Service Enterprise Ltd.

Syarikat itu dikatakan telah didaftarkan pada 13 Mac lalu dengan alamat berdaftar di Cardiff, South Glamorgan, UK.

“Maklumat baharu sedang diterima berkaitan syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Jho Low, termasuk di Amerika Syarikat dan kemungkinan juga di Hong Kong,” kata Tom dalam satu hantaran di platform X (dulu Twitter).

Pendedahan ini susulan laporan terdahulu oleh Tom dan rakan wartawan, Bradley Hope, yang mendakwa Jho Low menggunakan pasport Australia atas nama ‘Constantinos Achilles Veis’ bagi menyembunyikan identitinya daripada pihak berkuasa antarabangsa.

Kedua-duanya merupakan bekas wartawan Wall Street Journal (WSJ) yang memainkan peranan penting dalam pendedahan awal skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka juga merupakan pengarang bersama buku bestseller “Billion Dollar Whale”, yang merungkai kronologi penyelewengan dana 1MDB melibatkan Jho Low.

Tom dan Bradley turut mendakwa bahawa Jho Low kini dipercayai menetap di Green Hills, sebuah kawasan kejiranan elit di Shanghai, China.

Dakwaan itu disokong oleh bukti baharu yang diperoleh daripada beberapa sumber dan dokumen, termasuk transaksi hartanah serta data pergerakan antarabangsa.

Walaupun pihak berkuasa Malaysia dan antarabangsa masih giat memburu Jho Low, keberadaannya kekal misteri sejak dia menghilang selepas skandal 1MDB terbongkar secara meluas pada 2015.

Pihak berkuasa UK, AS dan China masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan penggunaan identiti palsu ini.

Jho Low kini menjadi antara individu paling dikehendaki dalam kes penyelewengan kewangan terbesar di dunia yang melibatkan berbilion ringgit dana awam.

BBerkaitan

Latest articles