Janji Lupus PTPTN – AMK Pertahan Adam Adli, Jangan Hukum Dengan Cerita Lama

KUALA LUMPUR: Kritikan berterusan terhadap Adam Adli Abd Halim berhubung janji menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disifatkan sebagai tidak adil dan terpisah daripada realiti semasa.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata janji tersebut dibuat ketika Adam Adli masih bergelar aktivis, jauh sebelum beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Menurut Muhammad Kamil, konteks masa dan kedudukan negara ketika itu sangat berbeza berbanding hari ini.

Katanya, janji yang diungkap lebih sedekad lalu tidak wajar dijadikan peluru untuk mengkritik pentadbiran semasa tanpa mengambil kira perubahan ekonomi, fiskal dan hutang negara.

Beliau berkata demikian memetik temubualnya sebagai panel program SKOP MG bertajuk Rombakan Kabinet: Game Changer Atau Biasa-biasa?, malam tadi.

Beliau menegaskan, kini Adam Adli berada dalam kedudukan untuk mencari penyelesaian yang lebih realistik dan menyeluruh, bukan semata-mata tertumpu kepada PTPTN.

“Jika ruang diberikan, banyak inisiatif lain boleh diteroka bagi menambah baik sistem pendidikan negara,” katanya sambil menyifatkan sindiran dan kecaman rakyat sebagai gagal melihat gambaran besar.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menyamakan isu PTPTN dengan polemik harga minyak, yang sering dijadikan ukuran segera terhadap prestasi kerajaan.

Katanya, pemulihan ekonomi memerlukan masa, penjimatan dan perancangan rapi sebelum sesuatu dasar boleh dilaksanakan.

“Bukan menang hari ini, esok semua terus selesai,” ujarnya.

Beliau turut merujuk langkah kerajaan dalam Belanjawan 2026 yang memperkenalkan penghapusan hutang PTPTN bagi pelajar B40 sebagai isyarat jelas bahawa reformasi sedang bergerak, meskipun secara berperingkat.

Tegasnya, perubahan dasar mesti dilihat secara holistik dan berpaksikan kemampuan ekonomi semasa, bukan sekadar nostalgia janji lama.

BBerkaitan

Latest articles