SHAH ALAM: Program motivasi rumah tangga anjuran syarikat eHati yang berlangsung tahun lalu di Pusat Konvensyen IDCC kini mencetuskan kontroversi besar apabila enam individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas disyaki terlibat dalam aktiviti bertentangan dengan hukum syarak, termasuk dakwaan terdapat ritual bogel dalam salah satu sesi program.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan, dua lelaki dan empat wanita berusia antara 26 hingga 47 tahun ditahan pada 18 Julai lalu selepas diambil keterangan.
Kesemua mereka disiasat mengikut beberapa seksyen di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 melibatkan doktrin palsu, dakwaan palsu dan penghinaan terhadap Islam.
“Kita sedang menyiasat kemungkinan berlakunya suatu upacara atau perbuatan berkaitan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Setakat ini, JAIS telah merakam percakapan 38 saksi dan telah mengenal pasti seramai 282 peserta program eHati yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Turut dirampas ialah tiga buah buku dan tiga keping cakera padat video (VCD) yang kini diserahkan kepada Jabatan Mufti Selangor untuk penilaian dari sudut hukum syarak.
“Siasatan juga merangkumi keseluruhan modul dan program yang ditawarkan oleh penganjur,” tambah Mohd Shahzihan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap aktiviti ritual yang dikatakan berlaku dalam program berkenaan, termasuk sebuah sesi dinamakan ‘Queens Night’ yang melibatkan empat individu berbogel.
“Setakat ini, polis sudah ambil keterangan 90 individu termasuk peserta, fasilitator dan kakitangan syarikat penganjur,” katanya.
Sebelum ini, pasangan suami isteri pengasas eHati, seorang anak mereka dan tiga lagi individu telah direman selama tiga hari pada 16 Julai lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 509 dan 294 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Peguam kepada pengasas program berkenaan, Datuk M Reza Hassan, memaklumkan bahawa anak guamnya telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 18 Julai lalu.
JAIS menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penganjuran aktiviti yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor selepas siasatan selesai.