Isu Titah Adendum: Peguam Dakwa Kerajaan Gagal Urus, Institusi Diraja Dipinggirkan?

KUALA LUMPUR: Seorang peguam mendakwa kerajaan telah gagal mengendalikan isu titah adendum berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hingga mencetuskan kekeliruan dan memperlihatkan seolah-olah institusi diraja diketepikan.

Datuk Hasnal Rezua Merican menyifatkan kegagalan itu sebagai “salah urus besar” kerana titah berkenaan yang membenarkan Najib menjalani hukuman penjara sebagai tahanan rumah telah disahkan Majlis Kesultanan Pahang, namun tidak dipersembahkan dengan sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ya, memang benar kerajaan tersalah kendali. Peguam Negara pula mendiamkan perkara ini, sehinggalah Mahkamah Rayuan ‘memalukan’ kerajaan dengan memulangkan semula kes kepada Mahkamah Tinggi,” katanya dalam forum “Town Rakyat Mencari Kebenaran” hari ini.

Moderator forum, Kamarudin Ahmad, turut menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana tidak memohon maaf kepada rakyat selepas kewujudan titah itu disahkan, dan menggesa supaya rayuan Peguam Negara ditarik balik.

Peguam kanan, Datuk Seri Rajan Navaratnam, berkata isu ini tidak perlu diperpanjangkan di mahkamah kerana kewujudan titah adendum sudah jelas dan sah.

“Tak perlu pertikaian lagi, cuma tunggu pelaksanaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun, menyuarakan kekecewaannya kerana titah itu “disorokkan” pada peringkat awal.

“Kalau suara raja pun berani disenyapkan, apatah lagi suara rakyat biasa?” tegas beliau.

Forum turut membangkitkan kebimbangan bahawa pengabaian terhadap titah diraja memberi isyarat buruk terhadap integriti pentadbiran undang-undang negara.

BBerkaitan

Latest articles