KUALA LUMPUR: Istana Negara hari ini menegaskan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting dan tidak seharusnya dipolitikkan, susulan pelbagai kritikan berhubung kelewatan pelantikan yang didakwa mencetuskan “krisis perlembagaan”.
Dalam satu kenyataan, Istana Negara menjelaskan pelantikan hakim dibuat mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, iaitu oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelas menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara. Pelantikan ini perlu ditangani dengan penuh cermat dan berintegriti, sejajar Perlembagaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut Istana Negara lagi, proses pemilihan calon hakim sebenarnya ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695). Namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan hakim tetap terletak kepada Perdana Menteri.
“Hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” tegas Istana Negara.
Kenyataan Istana Negara ini hadir selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) kelmarin menolak gesaan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau jawatankuasa pilihan khas Parlimen ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan kononnya wujud ketidakteraturan dalam pelantikan hakim.
Gesaan itu sebelum ini dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersama beberapa ahli Parlimen PKR lain yang mempersoalkan kelewatan pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk Ketua Hakim Negara.
Kebimbangan tentang kemungkinan “krisis perlembagaan” memuncak minggu lalu apabila Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim bersara wajib.
Setakat ini, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim telah dilantik sebagai pemangku Ketua Hakim Negara manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof menjalankan tugas sebagai pemangku Presiden Mahkamah Rayuan.