TEHRAN: Iran hari ini melancarkan serangan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas Israel dalam operasi ketenteraan digelar True Promise III atau Janji Benar III, sebagai tindak balas terhadap serangan rejim Zionis ke atas wilayahnya.
Serangan bermula pada petang Jumaat menyaksikan ratusan peluru berpandu balistik dilepaskan ke arah sasaran strategik di dalam Israel, termasuk Tel Aviv dan Jerusalem, yang menggegarkan sistem pertahanan udara berbilang lapisan negara itu.
Menurut media Iran, antara sasaran utama yang dibedil termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Keselamatan, pangkalan udara serta pusat pembuatan senjata Israel.
Gambar-gambar yang tular menunjukkan beberapa letupan besar dan bola api menerangi langit malam, dipercayai akibat bedilan peluru berpandu Iran yang menembusi sistem pertahanan Iron Dome.
Tindakan tegas Iran ini merupakan reaksi balas terhadap serangan Israel ke atas beberapa kawasan perumahan di Tehran dan wilayah lain awal pagi Jumaat, yang mengorbankan beberapa pegawai tertinggi tentera dan saintis nuklear negara itu.
Antara yang terkorban termasuk Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Hossein Baqeri, dan Komander Pasukan Aeroangkasa IRGC, Mejar Jeneral Amir Ali Hajizadeh.
Susulan insiden berdarah itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, melantik ketua tentera tertinggi baharu dan memberi amaran keras kepada Israel.
“Dengan jenayah ini, rejim zionis telah membuka keadaan dan nasib yang pahit dan menyakitkan. Mereka pasti akan menerima hukuman berat,” tegas Ayatollah Khamenei dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen Iran.
Dalam kenyataan ringkas selepas serangan bermula, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengesahkan serangan menyasarkan puluhan lokasi strategik termasuk pangkalan tentera, lapangan udara dan kilang senjata milik Israel.
Kenyataan lanjut IRGC menyebut bahawa risikan satelit mengesahkan sebahagian besar peluru berpandu dan dron Iran telah mengenai sasaran dengan ketepatan tinggi.
“Kami menyasarkan lokasi pelancaran serangan terhadap Iran, termasuk pusat operasi industri senjata Zionis, dan hasilnya jelas—musuh tidak kebal,” kata IRGC.
Situasi kini semakin tegang dan menjadi perhatian dunia.
Setakat ini, pihak Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung jumlah kematian atau kerosakan akibat serangan tersebut.
Pemerhati antarabangsa pula menjangkakan konflik akan memasuki fasa yang lebih genting dalam masa terdekat.
Iran menegaskan bahawa tindakannya adalah bersifat pertahanan sah dan memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan lanjut akan menerima tindak balas lebih keras.