MUAR: Tindakan seorang pempengaruh permotoran yang berpura-pura hilang demi melarikan diri ke Thailand akhirnya membawa padah apabila dia dan adik lelakinya dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Tertuduh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija di media sosial, dan adiknya Tengku Abdul Aziz, 30, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mahkamah turut menetapkan bahawa jika gagal membayar denda, Ija boleh dipenjara tiga bulan manakala adiknya enam bulan.
Bagaimanapun, kedua-duanya membayar denda serta-merta selepas keputusan diumumkan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua beradik itu didakwa memberikan laporan palsu dan bersubahat berhubung kehilangan kononnya berlaku di Balai Polis Lenga sekitar jam 11.38 malam pada 15 Julai lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 182 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Tengku Aziz membuat laporan palsu mendakwa abangnya hilang, sehari selepas orang awam menemui kereta milik Ija dalam keadaan tenggelam di Sungai Tui, Bukit Kepong sekitar jam 3 petang, 16 Julai lalu.
Kejadian itu mencetuskan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran melibatkan polis, bomba dan anggota RELA.
Namun, sandiwara mereka terbongkar selepas siasatan polis mendapati Ija sebenarnya merancang penipuan itu.
Dia menenggelamkan keretanya sendiri di sungai, kemudian meminta adiknya menjemputnya sebelum melarikan diri ke Thailand melalui Padang Besar, Perlis.
Siasatan lanjut mendapati terdapat rekod imigresen yang menunjukkan Ija memasuki Thailand pada 17 Julai, dengan tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai yang ditempah lebih awal.
Rakaman CCTV turut mengesan kelibatnya di Terminal Bas Seremban pada malam 14 Julai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam rayuan hukuman, peguam bela memaklumkan bahawa tindakan Ija bukan kerana mahu berkahwin di Thailand, tetapi disebabkan tekanan kewangan yang dihadapi ketika itu.
Ketika diberi peluang mengemukakan rayuan secara peribadi, Ija memohon maaf kepada pihak berkuasa dan masyarakat atas tindakannya yang menyebabkan kerugian masa serta sumber.
“Saya sudah menyesal dengan tindakan saya, saya tak nak penjara. Isteri saya sedang hamil enam bulan,” katanya sebak di mahkamah.