KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri yang akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025.
Menurut Rafizi, keputusan itu diambil susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, yang disifatkan telah menghilangkan mandat politik untuk meneruskan agenda parti di dalam kerajaan.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan dalam pemilihan PKR bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat untuk menterjemah agenda rakyat sebagai dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Rafizi turut memaklumkan bahawa beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini hingga 16 Jun, sebelum peletakan jawatan itu mula berkuat kuasa sehari kemudian.
Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, beliau menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk melantik pengganti yang lebih sesuai.
Dalam kenyataan sama, Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Kementerian Ekonomi dan penjawat awam yang disifatkannya berkemampuan tinggi dalam merangka dasar negara.
“Amanah terakhir saya adalah menyempurnakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang kini telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya.
RMK13, menurut Rafizi, memberi penekanan kepada reformasi pendidikan termasuk perubahan struktur yang signifikan melibatkan Kementerian Pendidikan.
Beliau berharap reformasi tersebut kekal dilaksanakan walaupun tidak lagi berada dalam kabinet.
Mengakhiri kenyataannya, Rafizi menyeru rakyat agar terus menyokong usaha jangka panjang untuk membaik pulih struktur ekonomi negara ke arah mencapai status berpendapatan tinggi.
“Perjalanan ini masih jauh, tetapi kita perlu terus membuat keputusan yang baik walaupun sukar, demi masa depan generasi akan datang,” ujarnya.