KUALA LUMPUR: Ketika dunia berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga dan kenaikan harga bahan api, Helios Photovoltaic Sdn Bhd tampil dengan pelan projek mega solar bersepadu bernilai RM5.5 bilion di Kelantan, sambil mengorak langkah ke pentas antarabangsa menerusi penyenaraian di Frankfurt Stock Exchange.
Projek berkapasiti 1,000 megawatt puncak (MWp) dengan sokongan sistem penyimpanan tenaga bateri 1,600 megawatt jam (MWh) itu bukan sahaja memfokuskan kepada penjanaan tenaga bersih, malah turut merangkumi pemuliharaan hidupan liar serta pembangunan eko-pelancongan di kawasan seluas 3,000 ekar di Kelantan.
Dalam sidang media, pihak syarikat menjelaskan krisis tenaga global sebenarnya menjadi pemangkin kepada permintaan terhadap tenaga solar.
Peningkatan kos bahan api, khususnya minyak, mendorong pengguna dan syarikat mencari alternatif lebih menjimatkan.
Menurutnya, hasil tinjauan dalaman mendapati ramai pengguna mula beralih kepada tenaga solar bagi mengurangkan bil utiliti secara signifikan.
“Sebagai contoh, kos penggunaan tenaga yang sebelum ini mencecah ratusan Ringgit Malaysia sebulan mampu dikurangkan secara drastik selepas pemasangan sistem solar, sekali gus menjadikan teknologi itu semakin relevan dalam situasi ekonomi semasa,” demikian menurut Ketua Pegawai Operasi Helios Photovoltaic Sdn Bhd, Datuk Dr Zuraidi Ishak.
Dalam masa sama, Helios menegaskan pemilihan Frankfurt Stock Exchange sebagai lokasi penyenaraian IPO adalah sejajar dengan strategi pengembangan global syarikat yang kini lebih tertumpu ke pasaran Eropah dan antarabangsa.
Selain Malaysia, syarikat itu kini aktif meneroka dan membangunkan projek di beberapa negara termasuk Jerman, Uzbekistan, Kazakhstan, Singapura dan Kemboja.
Malah, tumpuan turut diberikan kepada Eropah Timur seperti Slovakia dan Bulgaria sebagai pasaran baharu berpotensi.
“Fokus kami kini lebih ke luar negara, khususnya Eropah. Justeru, penyenaraian di Frankfurt memberi kelebihan dari segi akses kepada pelabur antarabangsa serta menyokong pertumbuhan projek di rantau berkenaan,” jelasnya.
Walaupun memilih pasaran luar negara, Helios tidak menolak kemungkinan untuk kembali menyertai pasaran tempatan pada masa depan, termasuk melalui pengambilalihan syarikat tempatan atau penyertaan di Bursa Malaysia.
Setakat ini, syarikat telah melaksanakan beberapa projek utama termasuk projek solar hibrid di kawasan pedalaman Sarawak serta pembangunan solar terapung Singapura.
Rundingan juga sedang dijalankan bagi pembangunan taman industri solar di Kemboja dan Sabah.
Projek mega di Kelantan yang dijangka beroperasi antara 2028 hingga 2029 itu turut dilihat sebagai pemangkin ekonomi setempat melalui penciptaan pekerjaan dan penglibatan komuniti Orang Asli, selain menyokong usaha pemuliharaan Harimau Malaya yang kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor di habitat liar.
Dengan gabungan tenaga hijau, pemuliharaan alam dan strategi global agresif, Helios dilihat bersedia muncul sebagai pemain utama dalam landskap tenaga boleh diperbaharui serantau dan antarabangsa.










