JOHOR BAHRU: Pembangkang diseru untuk menggunakan saluran demokrasi yang sah seperti undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya benar-benar mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata perhimpunan jalanan seperti ‘Himpunan Turun Anwar’ yang berlangsung hari ini tidak membawa sebarang kesan politik yang sah dan tidak mencerminkan kematangan berpolitik dalam negara.
“Kalau mahu juga Perdana Menteri turun sebelum PRU, mesti melalui undi tidak percaya. Itu jalan yang sah dan demokratik,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung SK Taman Molek Kali Ke-25, hari ini.
Menurut Hassan, peluang untuk membawa usul tersebut masih terbuka dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung minggu depan dan beliau yakin Anwar tidak akan menghalang sekiranya pembangkang benar-benar mempunyai majoriti.
“Pembangkang sudah dicabar sebelum ini tetapi tidak mahu ambil peluang. Desakan melalui himpunan bukan cara yang sah dalam sistem demokrasi berparlimen,” tegasnya.
Mengulas mengenai himpunan yang dianjurkan Perikatan Nasional (PN) di ibu negara hari ini, Hassan berkata perhimpunan aman seperti itu wajar dibenarkan kerana ia merupakan hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau turut memuji penganjur kerana berjaya mengendalikan perhimpunan itu secara tertib tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan setakat awal petang.
“Setakat ini saya lihat perhimpunan terkawal. Penganjur tunjukkan tanggungjawab. Ini satu perkembangan sihat dalam demokrasi,” katanya.
Hassan juga memuji sikap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang tidak menyekat hak berhimpun seperti yang sering berlaku pada zaman pentadbiran lalu.
“Kalau dulu, bila dengar nak berhimpun saja, terus keluar kenyataan ancam penganjur, kerah polis, FRU dan sebagainya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keupayaan kerajaan membenarkan suara berbeza disuarakan secara aman, walaupun dalam bentuk himpunan, membuktikan kematangan demokrasi Malaysia semakin berkembang.