KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberi amaran keras kepada sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman negara.
Hassan mendakwa, tindakan kumpulan yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli itu seolah-olah memperlihatkan mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR.
“Desakan mereka ini menempatkan Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri yang berkuasa melantik hakim mengikut Perlembagaan, dalam posisi suspek utama jika RCI ditubuhkan.
“Ini umpama meletakkan tengkok Anwar di bawah guillotine seperti zaman Revolusi Perancis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hassan, walaupun isu integriti kehakiman yang dibangkitkan oleh sembilan ahli Parlimen PKR itu punya asas sah dan bermerit, ia tetap membawa risiko politik besar.
“Persoalannya, adakah mereka sanggup menghadapi kemungkinan kerajaan pimpinan Anwar tumbang akibat desakan RCI ini?
“Jika ya, maka jelas berlaku ‘pemberontakan dalaman’ paling serius dalam PKR sejak ditubuhkan,” katanya.
Tambah beliau, tindakan Rafizi dan kumpulan ini juga menampakkan ramai pemimpin PKR sudah hilang sabar dengan kompromi kerajaan sehingga timbul persepsi hipokrasi terhadap perjuangan reformasi.
Hassan berkata, desakan menubuhkan RCI ini memberi tekanan besar kepada Anwar yang dijangka pulang dari lawatan luar negara dalam masa terdekat.
“Apabila Anwar pulang, tugas utama beliau adalah menangani isu ini dengan penuh kebijaksanaan.
“Penentangan sembilan backbencher ini bukan perkara kecil, sebaliknya amat serius. Saya lihat keadaan sekarang seperti buku bertemu ruas dalam PKR sendiri,” katanya.
Semalam, Rafizi bersama lapan lagi ahli Parlimen PKR tampil mendesak supaya kerajaan segera menubuhkan RCI berhubung isu reformasi institusi kehakiman serta kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.
Mereka menegaskan desakan ini dibuat kerana keputusan-keputusan mahkamah kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan tentang kebebasan institusi kehakiman.
Malah, beberapa dakwaan yang tular memerlukan penjelasan segera untuk mengelak krisis kepercayaan terhadap kerajaan.