PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter, berbanding harga semasa RM2.05, sebagai sebahagian daripada langkah penyasaran subsidi bahan api yang lebih adil dan berkesan.
Dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung, Anwar menjelaskan bahawa pengurangan harga ini akan memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia, termasuk pemandu kereta, penunggang motosikal, golongan belia seawal usia 16 tahun serta para pekerja ekonomi gig.
“Rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter. Ini tentunya memberi manfaat kepada jutaan rakyat yang menggunakan kenderaan setiap hari,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penurunan harga ini adalah sebahagian daripada pendekatan subsidi bersasar kerajaan yang bertujuan mengoptimumkan sumber negara, mengurangkan pembaziran serta memastikan hanya golongan yang layak menerima manfaat subsidi.
Menurutnya, warga asing dan pihak yang tidak layak akan tetap dikenakan harga pasaran tanpa subsidi.
“Pendekatan ini penting agar bantuan kerajaan sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan, dan bukannya dinikmati oleh golongan kaya atau bukan warganegara,” ujar Anwar.
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa perincian lanjut mengenai pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diumumkan selewat-lewatnya akhir September ini, termasuk mekanisme pengesanan kelayakan dan saluran bantuan yang akan digunakan.
Beliau turut mendedahkan bahawa pada tahun 2023 dan 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM20 bilion setahun untuk subsidi petrol RON95 sahaja.
“Walaupun harga minyak dunia menurun, harga sebenar RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter. Ini menunjukkan betapa besar komitmen kerajaan dalam menanggung kos bagi membantu rakyat,” katanya lagi.