Harga Ayam Kini Stabil Selepas Subsidi Ayam Ditarik, Tamatkan Kartel

KUALA LUMPUR: Penamatan subsidi ayam pada November 2023 terbukti sebagai langkah strategik yang berjaya membanteras pengaruh kartel dalam industri ayam tempatan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh.

Menurut beliau, sejak penarikan subsidi itu, pasaran ayam menunjukkan kestabilan dari segi bekalan dan harga berbanding ketika subsidi masih dilaksanakan.

“Sebelum 1 November 2023, walaupun terdapat harga kawalan RM9.40 dan pemberian subsidi, kita tetap menghadapi isu kenaikan harga. Peniaga juga terpaksa mengenakan caj tambahan untuk perkhidmatan seperti memotong ayam,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah menjelaskan bahawa antara punca utama ketidaktentuan harga ayam sebelum ini adalah disebabkan dominasi kartel dalam sektor makanan ayam, yang menyumbang sekitar 70 peratus kepada kos pengeluaran ayam.

“Langkah kita memerangi kartel makanan ayam telah berjaya mengawal kos pengeluaran. Akibatnya, pasaran kini lebih stabil meskipun subsidi telah ditamatkan,” tambahnya.

Fuziah turut memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak pernah menghentikan pemantauan harga ayam, malah aktiviti tersebut dijalankan secara harian sejak dua tahun lalu.

“Meskipun tiada lagi subsidi, pemantauan harian tetap diteruskan di sepanjang rantaian bekalan dari pengeluar hingga ke peruncit,” katanya.

Situasi yang sama, jelas beliau, berlaku dalam pasaran telur apabila subsidi ditarik balik tanpa menjejaskan bekalan dan kestabilan harga.

“Kita lihat harga ayam hari ini bukan sahaja stabil, malah ada yang lebih rendah daripada sebelumnya. Ini menunjukkan mekanisme kawalan bekalan dan pemantauan harga yang berkesan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Dr Muhammed Taufiq Johari (Sungai Petani – PH) mengemukakan pertanyaan mengenai mekanisme pemantauan dan pelaporan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), bagi memastikan langkah intervensi kos sara hidup benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Sebagai jawapan, Fuziah memberi jaminan bahawa kementerian akan terus memperkukuh pengawasan dan intervensi berdasarkan data dan maklumat semasa agar rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang asas.

BBerkaitan

Latest articles