Hantaran Jelik Tragedi UPSI: Polis Siasat Guru

MANJUNG: Polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang guru lelaki yang dipercayai memuat naik hantaran jelik di media sosial berhubung tragedi kemalangan maut melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Gerik-Jeli, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Superintenden Hasbullah Abd Rahman, berkata siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan berkaitan pada jam 4.40 petang semalam.

“Satu akaun Facebook bernama ‘Khalid Yunus’ dikesan membuat hantaran yang mengguris perasaan ramai pihak, khususnya ahli keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengganggu ketenteraman awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman bagi penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah diarahkan menyedia laporan lengkap berkaitan tindakan guru terbabit yang dipercayai mengajar di sebuah sekolah menengah di negeri ini.

Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah, pengetua sekolah telah diminta menyerahkan laporan tersebut mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Arahan ini selaras dengan surat pekeliling KPM yang menyentuh pengurusan isu membabitkan warga pendidik agar tindakan yang sesuai dapat diambil,” katanya.

Terdahulu, kenyataan kontroversi guru berkenaan di Facebook mengundang kecaman hebat netizen selepas beliau mendakwa pelajar-pelajar yang maut meninggal dalam keadaan “tidak beriman” kerana berhutang dengan PTPTN.

Guru tersebut kemudiannya memadam hantaran itu dan memohon maaf secara terbuka, sambil mendakwa dirinya menghidap penyakit skizofrenia.

BBerkaitan

Latest articles