KUALA LUMPUR: Seramai 198 warga asing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 hari ini kerana cuba memasuki negara ini tanpa tujuan yang jelas, selain tidak memenuhi keperluan asas seperti kewangan mencukupi dan tempat penginapan.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata saringan mendapati mereka gagal memberikan justifikasi munasabah mengenai lawatan ke negara ini.
“Secara keseluruhan, hampir 200 penumpang ditahan dan akan dihantar pulang segera ke negara asal masing-masing. Proses ini dibuat mengikut prosedur Not to Land (NTL), dan tanggungjawab membawa mereka pulang terletak kepada syarikat penerbangan,” katanya pada sidang media hari ini.
Daripada jumlah itu, katanya seramai 128 individu ditahan di KLIA Terminal 1, manakala 70 lagi di Terminal 2.
“Di Terminal 1, majoriti membabitkan 123 warga Bangladesh, dua warga Pakistan, dua warga Indonesia dan seorang warga Syria,” katanya.
Sementara itu, di Terminal 2, 70 individu yang ditahan terdiri daripada 51 warga Indonesia, 13 warga India, empat warga Pakistan dan dua warga Vietnam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily turut mendedahkan penemuan mengejutkan apabila pemeriksaan terhadap telefon bimbit beberapa penumpang mendapati terdapat gambar pegawai AKPS yang dipercayai digunakan sindiket sebagai rujukan untuk mengelak ditahan.
Beliau berkata gambar tersebut dipercayai dihantar oleh individu yang pernah ditahan dan dihantar pulang sebagai maklumat balas kepada sindiket yang mengatur kemasukan warga asing ke Malaysia.
“Ini menunjukkan sindiket semakin licik dan bertindak balas terhadap usaha penguatkuasaan. Mereka dipercayai menyesuaikan strategi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau menegaskan operasi dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi menghantar mesej jelas kepada mana-mana pihak yang cuba menyeludup masuk warga asing secara tidak sah ke negara ini. – BERNAMA