PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa pihak berkuasa bertindak segera terhadap kewujudan halaman pedofilia di media sosial yang memaparkan gambar dan kandungan lucah melibatkan murid sekolah rendah.
Beliau menyifatkan situasi itu sebagai sangat serius, jijik dan mengancam keselamatan murid, serta perlu ditangani segera oleh pihak berwajib.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius laporan media berhubung halaman pedofilia yang tular di media sosial. Kandungan lucah dan tidak bermoral ini perlu dibanteras habis-habisan,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Baru-baru ini, selebriti dan aktivis media sosial, Caprice (Ariz Ramli), mendedahkan kewujudan kumpulan Facebook dikenali sebagai Group Budak2 Sekolah Rendah yang secara terang-terangan memaparkan gambar dan kandungan eksplisit melibatkan kanak-kanak bawah umur.
Caprice turut memaklumkan beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu.
Dalam usaha jangka panjang, Fadhlina memaklumkan KPM telah menyediakan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) bagi meningkatkan kesedaran murid, guru dan ibu bapa terhadap isu berkaitan seksualiti dan perlindungan diri.
“PEERS akan diberi penekanan lebih besar dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dengan penambahan masa pengajaran yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menggesa semua sekolah di bawah KPM mematuhi garis panduan sedia ada dalam menangani isu gangguan seksual di peringkat institusi pendidikan.
Fadhlina menegaskan bahawa peranan ibu bapa amat penting dalam mendidik dan melindungi anak-anak daripada ancaman seksual secara dalam talian mahupun fizikal.
“Mereka bertanggungjawab memastikan maruah dan keselamatan anak-anak dipelihara. Pendidikan awal dari rumah adalah benteng pertama,” katanya.