PUTRAJAYA: Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan memangku tugas Ketua Hakim Negara berikutan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 1 Julai lalu.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia memaklumkan pelaksanaan itu selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, sekali gus membolehkan Hakim Besar Malaya menjalankan semua kuasa serta fungsi Ketua Hakim Negara.
“Pentadbiran kehakiman Malaysia sentiasa kukuh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat serta negara,” menurut kenyataan itu.
Sehingga kini belum ada pelantikan rasmi Ketua Hakim Negara yang baharu dibuat.
Untuk rekod, Tengku Maimun mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik Ketua Hakim Negara apabila memegang jawatan tertinggi badan kehakiman itu sejak 2 Mei 2019 sehingga bersara wajib pada 1 Julai 2025.